Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Seramai 380 orang peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin sekolah peringkat Rendah, Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam dari institusi pendidikan kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Agama telah menghadiri Simposium Pemimpin Sekolah 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Simposium anjuran Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan itu dihadiri oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Awang Haji Tuah, selaku Pengerusi Simposium Pemimpin Sekolah 2025 menyatakan tema simposium, Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti, melambangkan langkah ke hadapan penting dalam perjalanan berterusan untuk memupuk pemimpin sekolah yang komited dalam memajukan aspirasi negara iaitu Wawasan Brunei 2035.
Beliau turut menyatakan sub-tema, Early Intervention For Students With SEN – Ensuring Holistic Growth Through Proactive Support yang bertujuan untuk memperkukuh kesepaduan sistemik bagi Kementerian Pendidikan melalui penglibatan serta sokongan yang teguh dan mampan daripada semua pihak berkepentingan.

Majlis seterusnya menyaksikan sesi kongsi sama bertajuk, A Glimpse On Students Learning Assessment Framework, yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Awang Shahrizal bin Haji Emran.
Majlis disusuli dengan penyampaian ucaptama bertajuk, Early Intervention and Its Role in Proactive, Successful Early Childhood Development for All Students Including with Special Educational Needs (SEN), oleh Penolong Profesor dalam bidang Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, Dr. Nordiana binti Haji Zakir.
Dalam ucaptama beliau antara lain menyentuh mengenai mengapa intervensi awal adalah penting serta pengenalpastian dan penilaian pelajar-pelajar berkeperluan pendidikan khas.

Majlis seterusnya diikuti dengan Forum Pelbagai Pihak Berkepentingan bertajuk, Collaborative Pathways To Early Intervention F or Students With SEN, yang dibentangkan oleh 4 orang ahli panel.
Ahli-ahli panel berkenaan terdiri daripada Pemangku Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak, Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC), Kementerian Kesihatan, Dayang Dr Foong Sue Wen, Pegawai Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dayang Widiafalena binti Haji Surhan dan Pengiran Ayup bin Pengiran Haji Othman, selaku wakil ibu bapa.


Sesi petang diteruskan lagi dengan bengkel bertajuk, Co Creating the Blueprint – School Leaders’ Roundtable on Effective Early Intervention in special education, yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.
Simposium Pemimpin Sekolah bermatlamat untuk memperkukuh kapasiti dan kompetensi kepimpinan para pemimpin sekolah.
Di samping meningkatkan akauntabiliti bersama dalam kalangan semua pihak berkepentingan, khususnya jabatan-jabatan dan sekolah-sekolah dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan.
Turut hadir, Ketua-Ketua Jabatan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta superintenden bagi sekolah-sekolah Kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan.

