Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Simposium tumpu penyakit kaki diabetes

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Sempena Hari Diabetes Sedunia, Kementerian Kesihatan telah menganjurkan Simposium Diabetes: Fokus terhadap Penyakit Kaki Diabetes yang dihadiri oleh doktor-doktor, jururawat dan profesional bersekutu kesihatan.

    Simposium pendidikan yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi itu memberi tumpuan kepada penyakit kaki diabetes di mana diabetes merupakan punca utama kehilangan anggota badan.

    Pemangku Pakar Perubatan (Endokrin), Pusat Endokrin, Dr Nurshazwani binti Haji Mat Salleh dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, diabetes mengakibatkan komplikasi makro dan mikrovaskular, terutamanya apabila ia tidak dikawal dengan baik atau dalam kes-kes yang berpanjangan.

    “Penyakit kaki diabetes adalah komplikasi yang serius, di mana 85 peratus daripada amputasi yang berkaitan dengan diabetes berpunca daripada ulser kaki diabetes,” jelasnya.
    Beliau menambah, ulser kaki yang kecil boleh tidak disedari disebabkan neuropati, yang membawa kepada jangkitan teruk dan sukar dirawat terutamanya apabila melibatkan ketahanan dan polimicroorganisms.

    Katanya lagi, “Jika tidak didiagnosis atau dirawat awal, ia sering memberi risiko nyawa pesakit sekali gus memberi beban tambahan kepada penjagaan kesihatan.

    Antara peserta yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Satu dalam empat orang yang menghidap diabetes juga akan mengalami ulser kaki diabetes dan satu pertiga daripada mereka akhirnya akan menjalani amputasi anggota badan,” jelasnya.

    Simposium diisi dengan ceramah-ceramah yang disampaikan oleh pakar-pakar yang terlibat dalam menguruskan penyakit kaki diabetes, ahli endokrinologi, neurologi, pakar bedah ortopedik, pakar bedah vaskular dan podiatri.

    Ahli-ahli panel terdiri daripada Profesor Dr Muralidharan Nair dari Neurologi yang menyampaikan ceramah mengenai Diabetic Neuropati, dan Dr Ashraf Salah Ahmed (Pembedahan Vaskular) menyentuh mengenai Peripheral Vascular Disease in patient with Diabetes Mellitus.

    Manakala itu, ceramah mengenai Infeksi dan Komplikasi Kaki Diabetik – Perspektif Perubatan telah disampaikan oleh Dr Seenaj Chandran dan Dr Muiz bin Dr Haji Zulaidi dan Introduction to Hypo Box disampaikan oleh Dr Dayangku Amanina Nabihah binti Pengiran Matsah yang mana masing-masing dari Endokrinologi.

    Sementara itu, Haji Khairul ‘Azmi bin Haji Mohd Kadir dari Pembedahan Ortopedik pula menyampaikan ceramah mengenai Infeksi Kaki Diabetik – Apabila Pembedahan perlu dan tajuk Peripheral Arterial Disease Integrated Care pathway telah disampaikan oleh Hajah Majidah binti Haji Suhip (Podiatri).

    Dengan adanya simposium ini, profesional penjagaan kesihatan diharap akan dapat mengesan, merawat dan mengurus penyakit kaki diabetes dengan lebih baik tanpa berlengah.

    Sehubungan itu, dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai, Pusat Diabetes, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha akan menganjurkan jerayawara sempena Hari Diabetes Sedunia pada 12 November depan di The Mall, Gadong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda