BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Sekolah Fairview telah mengungkayahkan pelbagai aktiviti bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini di kawasan legar sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Urusan Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnor. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Akademik, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain; dan Pengarah Eksekutif Pentadbiran, Awang Azmin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Selawat Sayyidul Istighfar serta Doa Selamat dipimpin oleh Awang Mohd Abdul Aiman bin Abdul Wahab, disusuli laungan takbir raya beramai-ramai diketuai oleh Awang Faqih Jalaluddin bin Fauzi Zen Syukri.
Acara diselajurkan dengan penyampaian hadiah peraduan aktiviti di dalam kelas iaitu, mewarna, membuat model Kaabah dan poster yang disampaikan oleh Awang Azmin.
Peraduan telah diadakan seminggu lebih awal sebelum majlis diadakan.
Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan aktiviti Simulasi Manasik Haji. Aktiviti ini memberikan pendedahan kepada para murid perjalanan yang perlu dilalui oleh para jemaah haji sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah. Manasik haji yang dilakukan seperti berniat ihram, wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, tawaf ifadah, saie dan melontar jamrah.
Menurut pihak sekolah, sambutan itu bertujuan memperkukuh semangat tolong-menolong, kesyukuran serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, di samping memperkasa jati diri muslim yang memahami ajaran Islam secara menyeluruh.