Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindhu mara ke pusingan kedua di Terbuka Thailand

    BANGKOK, 19 JAN – PV Sindhu (gambar bawah) dari India mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand hari ini sekali gus melupakan penyingkirannya pada pusingan pertama yang mengejutkan seminggu sebelum ini.

    Pemenang pingat perak Olimpik Rio itu berjaya mengalahkan pemain nombor 12 dunia dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan 21-17, 21-13 dalam 42 minit di Bangkok.

    “Ini adalah permainan yang bagus dan saya sangat-sangat gembira. Kemenangan ini sangat penting bagi saya dalam kejohanan ini kerana pada kejohanan minggu lalu, saya keluar pada pusingan pertama,” kata Sindhu.

    “Jadi kemenangan hari ini adalah sangat penting, kerana walaupun pada perlawanan pertama itu sukar, saya tidak mahu membuatnya mudah.”

    Sindhu kecundang di tangan pemain dari Denmark, Mia Blichfeldt sebagai satu kejutan seminggu yang lalu dalam aksi pertama di Thailand.

    Bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal mengalami kekalahan pusingan pertama menentang Ratchanok Intanon yang berada di kedudukan kelima setelah tersingkir di set kedua 21-17, 21-8. Keputusan itu adalah tamparan hebat bagi pemain India, yang belum layak ke Olimpik Tokyo.

    “Saya pernah menentang Newhal sebelum ini dan kalah beberapa kali, jadi saya belajar daripada pengalaman itu. Newhal adalah salah seorang pemain yang saya contohi, dia pantas,” kata Intanon.

    Pemain pilihan utama Tai Tzu-ying dari Taiwan bangkit dari kekalahan terakhirnya ke atas Carolina Marin dari Sepanyol dalam kejohanan pertama pada Ahad lalu, untuk menewaskan Supanida Katethong dari Thailand 21-16, 21-11.

    “Saya rasa saya bermain dengan baik hari ini. Saya merasa sedikit lebih baik daripada minggu lalu,” kata Tai.

    Dalam perseorangan lelaki, pemain pilihan ke-10 dari Malaysia, Lee Zii Jia menghadapi kekalahan yang tidak disangka menentang Sameer Verma dari India dalam aksi 74 minit.

    Verma, yang menduduki tempat ke-31 di dunia, bertahan untuk menuntut penentu 18-21, 27-25, 21-19.

    “Saya fikir sejak awal saya melakukan banyak kesilapan, tetapi bernasib baik saya mengatasinya untuk memenangi permainan pertama. Ini adalah permainan yang sukar bagi saya dan permainan kedua adalah yang panjang,” kata Lee. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda