Sindiket edar dadah melalui wechat tumpas

KUALA LUMPUR, 22 JAN – Polis berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang menjadikan aplikasi WeChat sebagai medium untuk mencari pelanggan, selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita Thai dalam serbuan di Cheras dan Kajang, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata dalam serbuan pertama pada kira-kira 10.50 pagi, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan dalam sebuah kereta di kondominum di Taman Shamelin Perkasa.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat kira-kira tiga kilogram.

“Susulan tangkapan suspek pertama, satu serbuan telah dilakukan di sebuah kondominium di Kajang pada 1.50 petang di mana seorang lelaki berusia 27 tahun dan wanita warga Thailand berusia 29 tahun telah ditahan.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui 1,802 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi, cecair ekstasi (MDMA) lebih 270.8 kilogram, serbuk ekstasi 3.6 kilogram dan 80 batang rokok dipercayai mengandungi dadah jenis ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Cheras hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua, 420 botol minuman ringan dipercayai berisi dadah turut dirampas daripada pasangan itu selain wang tunai sebanyak RM4,181, dan beberapa mata wang asing.

“Botol minuman berisi cecair campuran dadah setiap satu dijual pada harga RM200 kepada penagih dan boleh dibeli menerusi iklan di aplikasi WeChat. Nilai rampasan dadah dianggarkan RM788,700 manakala nilai sitaan pula adalah lebih RM26,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM815,000,” katanya lagi.

Mohamed Mokhsein berkata kesemua suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Pulau Pinang.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dan mengedar dadah,” katanya. – Bernama

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon (tengah) menunjukkan pelbagai dadah jenis pil, serbuk, cecair ekstasi dan ganja bernilai lebih RM788,000 yang dirampas susulan penahanan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, kelmarin. – Bernama