Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindiket haram tawar khidmat imigresen dalam talian tumpas

    PUTRAJAYA, 19 OGOS – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket ejen haram yang menawarkan perkhidmatan imigresen melalui media sosial yang beroperasi selama sebulan, berikutan penahanan lapan individu dalam satu operasi khas pada 15 Ogos lepas.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah melakukan serbuan di tujuh lokasi berbeza iaitu Cheras, Mid Valley City, Desa Pandan, Taman Midah, Sungai Besi, Sepang dan Bandar Enstek.

    Beliau berkata empat daripada yang ditahan adalah warga tempatan dengan dua daripada mereka merupakan dalang utama sindiket itu.

    “Turut ditahan tiga warga China dengan dua daripadanya sebagai ahli sindiket dan seorang pelanggan, serta seorang warga Filipina yang merupakan pembantu rumah kepada seorang daripada dalang utama.

    “Kesemua suspek berumur antara 33 tahun hingga 53 tahun. Semakan awal mendapati warga asing yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Ruslin berkata modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan kemudahan imigresen dengan menyasarkan warga China, Taiwan dan Thailand yang ingin mendapatkan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) jangka panjang dan pendek untuk tinggal lebih lama di negara itu. – Bernama

    Datuk Ruslin Jusoh (dua, kanan) menunjukkan pasport yang dirampas pada sidang media di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen, pada 19 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda