KOTA KINABALU, 31 MAC – Jabatan Imigresen (JIM) Sabah menumpaskan satu sindiket pemalsuan pelbagai dokumen pengenalan diri dengan penahanan enam individu dalam Ops Serkap bermula Rabu hingga semalam.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua yang ditahan dalam operasi dua itu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 24 hingga 59 tahun.
“Kewarganegaraan kesemua individu berkenaan belum dikenal pasti kerana dokumen yang digunakan masih dalam siasatan dan peranan kesemua suspek juga sedang disiasat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata dalam operasi kira-kira 10:30 malam Rabu lepas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sembulan Lama, enam pegawai Unit Risikan Jabatan Imigresen Sabah menahan tiga lelaki dan dua wanita didapati memiliki permit masuk yang disyaki palsu.
Katanya antara barangan dirampas daripada mereka ialah 28 dokumen permit masuk, 16 dokumen surat arahan pembayaran permit masuk, 15 resit pembayaran permit masuk dan 28 borang permohonan Dokumen Orang Asing Khas (IMM13), yang kesemuanya disyaki palsu.
Sh Sitti Saleha berkata hasil soal siasat terhadap mereka, anggota JIM Sabah bertindak menyerbu kawasan Riverside Sembulan kira-kira 1 tengah hari semalam dan menahan seorang wanita.
“Pemeriksaan terhadap wanita itu menemukan 18 resit pembayaran Pendaftaran Kad Pengenalan MyKad yang disyaki palsu dan wang tunai sebanyak RM744.
“Hasil siasatan lanjut terhadapnya, anggota JIM Sabah menggeledah sebuah rumah di sekitar Kuala Menggatal dan menemukan lapan resit rasmi pembayaran JIM, lapan surat arahan pembayaran permit masuk yang disyaki palsu, 15 borang permohonan kad pengenalan lengkap dengan gambar dan cap jari,” katanya.
Beliau berkata sindiket berkenaan disyaki telah beroperasi sejak April 2022 dan mengaut keuntungan sekitar RM60,000 hingga RM100,000. – Bernama