Wednesday, November 13, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindiket seludup anak buaya, kura-kura tumpas

    KUALA LUMPUR, 18 SEPT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang warga asing yang disyaki menyeludup hidupan liar bernilai RM1.8 juta sekali gus menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar dari sebuah negara Asia Selatan itu, semalam. 

    Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata hasil tangkapan dan pemeriksaan lanjut terhadap suspek membawa kepada rampasan 30 anak buaya julung-julung dan 14 kura-kura jenis Indian Eyed Turtle.

    “Berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesies hidupan liar yang dikawal dari sebuah negara di Asia Selatan menggunakan laluan udara dan memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    “Kes ini jarang berlaku dan spesies yang dirampas mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran gelap.

    Harga jualan bagi seekor anak buaya julung-julung ialah RM60,000 manakala kura-kura tersebut bernilai RM1,350 seekor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Gambar bertarikh 2 Februari 2021 menunjukkan Yusoff Mamat (dua kiri) melawat salah satu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Putrajaya sempena program General Turun Padang sambil diiringi oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali (tiga, kiri). – Bernama

    Beliau berkata suspek yang ditahan dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan hidupan liar yang aktif di peringkat antarabangsa dan hidupan liar yang dirampas itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini sebagai transit sebelum dipindahkan ke negara lain. 

    Mohd Yusoff berkata kes disiasat di bawah Seksyen 68(1) dan Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

    Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh 1 Januari lepas hingga semalam, Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK) melancarkan 135 serbuan di seluruh negara dan menahan 384 orang atas pelbagai kesalahan.

    “Ia melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar dengan keseluruhan nilai rampasan lebih RM420 juta,” katanya.

    Beliau berkata PDRM komited menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan yang melanggar undang-undang negara. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda