Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindiket sewa akaun bank tumpas, enam ditangkap

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai dalang dalam kes penyamaran bersiri telah berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

              Lelaki berkenaan terlibat dalam penyamaran sebagai pegawai kanan kerajaan dan penipuan jual beli dalam aplikasi media sosial.

              Suspek juga disyaki menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan kerajaan serta menawarkan perkhidmatan seperti mendatangkan pembantu rumah, pemasangan penghawa dingin, pemasangan langsir jendela dan lain-lain sebelum mangsa ditawarkan urusan mempercepatkan proses mendatangkan pembantu rumah, tender peralatan bangunan atau memberikan kerakyatan dengan meminta wang untuk dimasukkan ke dalam akaun orang yang tidak dikenali.

              Hasil tangkapan berkenaan, BSJS telah berjaya mematahkan sindiket penyewaan akaun bank dan juga telah menangkap lima lagi suspek tempatan berhubung kes penyamaran tersebut.

              Sebanyak 16 akaun bank yang digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian dan aktiviti perjudian telah dikenal pasti. Jumlah kerugian yang dilaporkan setakat ini adalah sebanyak $93,471.

              PPDB menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam penyewaan akaun bank atau mendaftarkan nombor talian telefon bimbit untuk kegunaan orang lain.

    Gambar hiasan Freepik

    Jika didapati atau ditangkap, pemilik akaun boleh didakwa di bawah Seksyen 3, Pengubahan Wang Haram, Perintah Mengembalikan Aset Jenayah, 2012 yang membawa kepada hukuman denda tidak melebihi $500,000, pemenjaraan untuk suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya dan didakwa di bawah Seksyen 417, Menipu, yang boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi tiga tahun dan denda.

              Selain itu, PPDB juga mengingatkan agar tidak mudah terpedaya dan berwaspada dengan taktik sindiket yang menggunakan media sosial dan rangkaian dalam talian yang menawarkan barangan atau perkhidmatan dengan harga rendah dan mudah.

    Orang ramai ditekankan jangan sesekali membuat pembayaran tanpa ada bukti atau kesahihan mengenai apa-apa yang ditawarkan dalam media sosial dan agar segera melaporkan atau mengongsi sebarang maklumat mengenai kes berkenaan atau suspek yang terlibat ke mana-mana balai polis yang berdekatan.             

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda