LONDON, 28 APRIL – Menteri kesihatan Britain berkata hari ini beliau berasa ‘amat bimbang’ dengan tanda-tanda sindrom berkaitan koronavirus yang muncul dalam kanak-kanak tetapi menekankan ia memerlukan lebih banyak penyelidikan dan masih bersifat luar biasa.
Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) mengeluarkan satu amaran pada hujung minggu mengenai sejumlah kecil kanak-kanak yang menunjukkan gejala luar biasa, termasuk sakit abdomen dan keradangan di sekitar jantung.
Mereka perlu dimasukkan ke wad rawatan rapi, menurut satu laporan dalam Jurnal Perkhidmatan Kesihatan.
“Saya amat bimbang mengenai tanda-tanda awal bahawa dalam kes luar biasa, timbulnya impak ke atas respons autoimun dalam kanak-kanak yang mengakibatkan penyakit serius,” beritahu Setiausaha Kesihatan Matt Hancock kepada radio LBC.
Beliau menambah: “Ia adalah penyakit baharu yang kami fikir mungkin berpunca daripada koronavirus dan virus COVID-19.”
Namun Hancock berkata sementara beberapa kanak-kanak yang menghidapi penyakit ini diuji positif dijangkiti virus, yang lainnya tidak.
“Kami sedang menjalankan banyak penyelidikan sekarang. Apa yang ingin saya tekankan adalah ia bersifat luar biasa. Walaupun ia amat signifikan untuk kanan-kanak yang menghidapinya, jumlah kes adalah kecil,” kata beliau.
Akhbar The Guardian melaporkan terdapat sekurang-kurangnya 12 kes setakat ini.
Pengarah perubatan NHS England Stephen Powis, berkata semalam ‘masih terlalu awal untuk berkata’ sama ada penyakit baharu itu dikaitkan dengan koronavirus tetapi isu ini dalam siasatan. – AFP
