KUALA LUMPUR, 27 JAN – Sinergi antara Malaysia, Indonesia dan rakan-rakan ASEAN amat penting untuk memastikan suara rantau ini lebih didengari di peringkat global, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dunia yang penuh ketegangan, kata Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Beliau menegaskan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, sebagai negara serumpun yang berkongsi sejarah, budaya, etnik dan agama, harus dijadikan asas kepada kerjasama strategik yang lebih kukuh, seterusnya memperkukuh perpaduan ASEAN.
“Dari segi geopolitik kita sedar bahawa dunia sekarang penuh dengan ketegangan, ketidakpastian. Kerana itu pandangan Malaysia dan Indonesia, perlu kita konsultasi terus, perlu kita sinergikan terus bersama kawan-kawan ASEAN yang lain.
“Hanya dengan kesatuan di antara negara ASEAN, hanya dengan kerjasama yang baik di antara kita, suara kita lebih didengar, kita lebih diperhitungkan oleh kekuatan yang jauh lebih besar daripada kita,” katanya.
Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas sempena lawatan negara ke Malaysia hari ini, Prabowo menekankan bahawa ASEAN, dengan lebih 600 juta penduduk, memiliki potensi besar yang setanding dengan Kesatuan Eropah (EU).
“Seluruh dunia mengakui Asia Tenggara sebagai rantau pertumbuhan dan sekarang Asia Tenggara selama beberapa dekad merupakan rantau keamanan.
“Kita tidak ada konflik di antara negara ASEAN. Untuk itu, saya dengan PM Anwar dengan pertemuan sangat intensif, membahas banyak masalah dan kerjasama, intinya adalah keputusan politik, keazaman politik bahawa Malaysia dan Indonesia harus bekerjasama dengan erat,” katanya. – Bernama