TOKYO, 29 SEPT – Seorang penjaga zoo di taman safari Jepun terbunuh selepas seekor singa dipercayai menyerangnya ketika dia cuba membawa haiwan itu masuk ke dalam kurungan, kata polis hari ini.
Kenichi Kato, seorang pekerja berusia 53 tahun di Taman Safari Tohoku di wilayah Fukushima, ditemui berdarah di lehernya dan tidak sedarkan diri di dalam kurungan singa petang semalam, beritahu jurucakap polis tempatan kepada AFP.
“Kemungkinan besar dia sedang memberi makan kepada seekor singa,” kata jurucakap itu yang enggan namanya disiarkan.
Seorang pegawai kanan taman sebelum ini berkata Kato cuba mengumpan singa ke dalam kurungan dengan menggunakan makanan, tetapi tidak mengunci pintu yang sepatutnya memisahkannya daripada haiwan besar itu.
“Prosesnya ialah kami membuka pintu dan meletakkan makanan. Sebaik sahaja makanan diletakkan, pintu itu harus ditutup dan dikunci,” kata Norichika Kumakubo, naib presiden taman itu, kepada wartawan tempatan petang semalam.
Tetapi ‘pintu itu terbuka pada masa itu’, katanya.
Kato ialah seorang kakitangan veteran yang bekerja dengan karnivor seperti singa, harimau dan beruang, kata media tempatan.
“Kami amat kesal dengan kejadian yang menimpa Kato,” kata Kumakubo. – AFP