Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singa gunung gigit budak 4 tahun

    PORT ANGELES, 22 JULAI – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera digigit seekor singa gunung semasa berjalan bersama keluarganya hujung minggu lalu di laluan popular Taman Negara Olimpik, Washington, menurut kenyataan daripada pihak berkuasa taman kelmarin.

    Kanak-kanak itu digigit pada Ahad berhampiran kawasan Hurricane Ridge, yang terkenal dengan pemandangan gunung yang luas dan menakjubkan.

    Menurut kenyataan Perkhidmatan Taman Negara (NPS), mangsa telah diterbangkan ke pusat trauma di Seattle untuk rawatan lanjut.

    Serangan tersebut melibatkan singa gunung yang memakai kolar penjejak dan dilaporkan kepada renjer taman kira-kira jam 3:15 petang Ahad. Pasukan paramedik dan kakitangan taman telah segera dikerahkan ke lokasi untuk memberikan bantuan.

    Pihak renjer memulakan operasi pencarian segera terhadap haiwan berkenaan dan kelmarin, haiwan itu berjaya dibunuh, menurut kenyataan itu.

    Frasa ‘dispatched the animal’ digunakan, yang biasanya membawa maksud haiwan tersebut dimatikan bagi menjamin keselamatan orang awam.

    Kenyataan itu juga menyatakan tiada ancaman lanjut terhadap orang awam pada masa ini.

    Pihak berkuasa taman tidak mendedahkan maklumat peribadi mengenai kanak-kanak itu bagi melindungi identiti dan privasi mangsa. – AP

    – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda