Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singa laut terperangkap dalam mulut ikan paus

    LOS ANGELES – Seorang jurugambar berjaya merakamkan gambar seekor singa laut terjatuh ke dalam mulut seekor paus humpback dan menyifatkan detik tersebut sebagai hanya berlaku sekali seumur hidup.

    Chase Dekker yang juga seorang ahli biologi marin, merakamkan gambar menakjubkan itu ketika memerhati ikan paus dari sebuah bot dekat Teluk Manterey, California pada minggu lalu. “Saya biasa melihat perkara yang gila tetapi tidak seperti ini,” katanya yang berusia 27 tahun dan biasa merakamkan gambar hidupan luar selama hampir satu dekad.

    Katanya, dia sedang mengikuti rombongan memerhati ikan paus itu pada 22 Julai lalu.

    Dia kemudian ternampak sekawan ikan paus humpback sedang makan di perairan berdekatan.

    Ketika ikan tersebut sedang memakan ikan bilis, seekor singa laut yang malang gagal untuk keluar dari kawasan tersebut dan memasuki mulut salah seekor ikan paus tersebut, katanya pada satu temu ramah dan di laman perkongsian gambar Instagram. Katanya, dia segera mengambil kamera dan mula merakamkan gambar menakjubkan itu.

    “Saya berasa sangat gembira kerana berjaya merakamkan momen yang saya rasa tidak akan temui lagi,” katanya.

    Bagaimanapun, menurut Dekker, ikan paus tersebut tidak menggigit singa laut tersebut yang berkemungkinan berasa sangat takut dengan pengalaman tersebut dan kemudian berenang ke kawasan lain.

    “Singa laut itu telah melalui pengalaman berada di dalam perut ikan,” katanya di Instagram. – AFP

    Seorang jurugambar berjaya merakamkan seekor singa laut terjatuh ke dalam mulut seekor paus humpback. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda