GUANGZHOU, CHINA, 31 MEI – Seekor singa dinamakan Hang Hang menjadi tarikan di Zoo Guangzhou di China selepas kelembapan cuaca membuatkan bulu atau surai di tengkuknya seperti didandan rapi ke bawah.
Menurut portal The Sun, UK, terdapat juga warganet menyamakannya seperti Raja Harimau, Joe Exotic yang miliki gaya fesyen rambut seperti manusia.
Bagaimanapun, kakitangan zoo itu mengatakan singa itu mungkin merapikan sendiri bulunya sebagaimana dilakukan oleh kucing dengan cara menjilat tapak kaki dan mengais surai di tengkuknya hingga menjadikannya seperti rambut disikat rapi.
Hang Hang yang sering dilihat sebagai salah satu pemangsa paling ganas tetapi tiba-tiba pengunjung melihatnya dengan rambut seperti didandan, sekali gus mencetuskan insiden lucu dan pelik.
Beberapa pengunjung pula membuat spekulasi gaya rambut singa itu mungkin dipotong dan didandan oleh penjaga zoo.

Namun penjaga zoo berkata, “ia benar-benar suatu keajaiban semula jadi, tidak ada yang berani memotong ‘rambut’ singa dengan gaya seperti model” sambil menjelaskan, gaya ‘rambut’ haiwan itu disebabkan kelembapan cuaca di Guangzhou.
Penjaga zoo berkata gaya ‘rambut’ singa itu telah menarik para pengunjung ke zoo tersebut selepas gambar singa jantan itu tular dalam media sosial.
Seorang pengunjung pula berasa ragu-ragu mengenainya kerana sebelum ini dia pernah mengunjungi zoo itu minggu lalu, tetapi tidak melihat singa jantan itu dengan gaya surai sedemikian.
Yang lain pula mengecam pekerja zoo kerana ‘merosakkan’ penampilan singa berkenaan.
Namun seorang pengunjung menyifatkan ia adalah gaya baharu yang kelihatan ‘lebih bergaya dan menonjolkan Guangzhou’. – Agensi