Wednesday, March 5, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura: 67 peratus pekerja migran mangsa kes sogokan terima pemulangan penuh

    SINGAPURA, 4 MAC – Seramai 42 daripada 63 pekerja migran, atau 67 peratus mangsa kes sogokan pada separuh kedua tahun lalu menerima pemulangan penuh wang mereka ketika siasatan dijalankan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

    MOM memaklumkan bahawa tujuh pekerja menerima pemulangan sebahagian wang mereka, manakala 14 pekerja masih belum menerima sebarang pemulangan setelah siasatan selesai. 

    “Bagi kes yang dibawa ke mahkamah, hakim boleh mengarahkan defendan untuk membuat pemulangan kepada mangsa sekiranya ia masih belum dilakukan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Hazel Poa pada Isnin.  

    MOM juga menjelaskan bahawa pihaknya merekodkan maklumat mengenai pemulangan wang sogokan kepada mangsa sekiranya dilakukan sepanjang tempoh siasatan.

    Jika sabit kesalahan, individu atau syarikat yang meminta wang sogokan boleh dikenakan denda sehingga S$30,000, hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. 

    Majikan yang melanggar peraturan itu juga akan disenarai hitam daripada menggaji pekerja migran.  

    Pada November tahun lalu, seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 24 minggu selepas disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA) kerana meminta wang sogokan daripada 57 pekerja migran antara 2014 hingga 2020.  

    Kes terbabit merupakan antara siasatan terbesar yang dikendalikan oleh MOM, dengan tertuduh berdepan 61 pertuduhan di bawah EFMA. – Bernama

    Envato

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda