Singapura adakan pilihan raya

SINGAPURA, 23 JUN – Singapura hari ini membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum pada 10 Julai ini dengan Perdana Menterinya Lee Hsien Loong berkata negara itu boleh melaksanakan ‘pilihan raya yang teratur dan selamat’ berikutan situasi COVID-19 yang sudah agak stabil.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun, demikian menurut Pejabat Perdana Menteri.

Presiden Singapura Halimah Yacob, atas nasihat Lee, membubarkan Parlimen dan mengeluarkan writ pilihan raya.

Lee yang bercakap secara langsung menerusi televisyen tempatan berkata beliau memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum kerana situasi COVID-19 secara relatifnya sudah stabil dan pilihan raya umum itu akan membuka laluan serta memberikan mandat kepada kerajaan baharu.

Pilihan raya umum itu akan menyaksikan pemilihan 93 ahli parlimen (MP), iaitu pertambahan berbanding 89 MP sebelum ini.

Gambar serahan Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura menunjukkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong membuat pengumuman mengenai pilihan raya umum di Singapura, 23 Jun. – AP

Wakil-wakil tersebut adalah untuk 14 Kawasan Pilihan Raya Kerusi Tunggal (SMC) dan 17 Kawasan Pilihan Raya Kumpulan Perwakilan (GRC).

Sejurus selepas pembubaran Parlimen, Jabatan Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya umum akan diadakan pada 10 Julai.

Kerajaan semasa kini menghampiri penghujung penggal lima tahunnya. Menurut perlembagaan, pilihan raya umum mesti diadakan selewat-lewatnya pada April 2021.

“Tempoh sudah tidak sampai setahun,” kata Lee.

“Pilihan raya yang diadakan sekarang – ketika semuanya agak stabil – akan membuka laluan dan memberikan kerajaan baharu mandat untuk lima tahun akan datang,” kata Lee, menambah “ini membolehkan kerajaan menumpukan kepada agenda nasional dan keputusan-keputusan sukar yang perlu dibuat dan dilaksanakan.”

Lee berkata Singapura bukan negara pertama mengadakan pilihan raya ketika penularan pandemik COVID-19 memandangkan negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara Eropah telahpun berbuat demikian.

“Saya yakin, dengan segala langkah pencegahan yang disusun dan dilaksanakan, kita boleh mengadakan pilihan raya yang teratur dan selamat,” katanya.

Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 di Singapura adalah sebanyak 42,432 kes dengan sebahagian besar melibatkan warga asing yang tinggal di asrama.

Kes COVID-19 pertama di republik ini dikesan pada 23 Jan lalu.

Terkini, Singapura mengklasifikasikan  1,824 kes sebagai jangkitan dalam komuniti, 581 kes import dan 39,908 kes melibatkan warga asing di asrama.

Kira-kira 84 peratus pesakit daripada keseluruhan kes yang dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti.

Setakat ini Singapura melaporkan 26 kematian akibat komplikasi COVID-19. – Bernama