SINGAPURA, 31 DIS – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat akan membentangkan Kenyataan Belanjawan 2021 bagi republik itu pada 16 Februari ini di Parlimen.
“Liputan Kenyataan Belanjawan itu akan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio,” menurut Kementerian Kewangan Singapura dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Heng dalam catatannya di laman rasmi Facebook beliau berkata, persediaan bagi Belanjawan 2021 sedang dilaksanakan dengan baik.
“Pandemik ini (COVID-19) dikawal di peringkat setempat dan vaksinasi sedang dilaksanakan. Bagaimanapun, prospek secara keseluruhan terus tidak menentu dan untuk tempoh yang tidak dapat ditentukan.
“Sekiranya trajektori pemulihan ekonomi berada di landasan, kita akan mempunyai tahun belanjawan yang lebih ‘tradisional.’ Namun, sekiranya situasi menjadi lebih buruk, kita bersedia untuk memberi respons dan menyesuaikannya,” katanya dalam catatan itu.
“Namun, pada tahun ini, ia lebih jauh daripada kebiasaan. Selain belanjawan tahunan, kita mempunyai empat belanjawan dan dua Kenyataan Menteri. Untuk menyokong pekerja, syarikat dan isi rumah ketika COVID-19, kami memperkenalkan beberapa langkah sokongan,” katanya.
Singapura telah memperuntukkan hampir S$100 bilion untuk membantu rakyatnya dan perniagaan dalam mengharungi tempoh sukar ini. – Bernama