KUALA LUMPUR, 11 Dis 2013 – Seorang senator mahu Malaysia mencontohi ketegasan negara jiran seperti Singapura dan Brunei Darussalam dalam penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkaitan keamanan dan budaya.
Senator Datuk Abdul Rahman Bakar memberikan contoh Singapura, yang mahu mengenakan tindakan undang-undang seperti penjara tujuh tahun ke atas para perusuh yang terlibat dalam kekecohan di Little India pada Ahad Iepas, dan ia patut dicontohi Malaysia.
Beliau menganggap Malaysia terlalu lembut dengan perusuh yang melakukan demonstrasi itu.
“Saya tidak setuju kita baik sangat, saya setuju undang-undang itu patut keras. Orang yang menghina raja, agama kita dan bangsa kita pun tidak ada tindakan yang tegas diambil,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Negara hari ini.
Beliau mengingatkan bahawa sikap tidak mahu menguatkuasakan undang-undang itu menyebabkan lambang bangsa Melayu dan Islam dihina, dan akan menyebabkan segelintir rakyat hilang rasa hormat terhadap pemerintah dan bakal mengambil tindakan sendiri satu hari nanti. Abdul Rahman menyarankan supaya undang-undang sedia ada sekarang ini diganti sahaja dengan yang baharu sekiranya agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan kuasa mereka atas kelemahan undang-undang yang ada.
Beliau turut menegur kurangnya penguatkuasaan dalam memastikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Katanya banyak papan iklan dan nama-nama bangunan masih menggunakan bahasa asing, yang tidak melambangkan identiti negara.
“Saya kagum dengan Brunei yang menguatkuasakan identiti mereka sebagai sebuah negara Melayu dan juga sebagai sebuah negara Islam. Di lapangan terbang mereka sahaja, bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu dan semuanya tertulis dalam tulisan jawi,” katanya.