SINGAPURA, 18 OGOS – Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura merosot 4.6 peratus pada Julai berbanding tahun sebelumnya, menurut data kerajaan hari ini, berikutan penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) menjunam lebih 40 peratus.
Sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, Singapura sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan terdedah kepada kelembapan global yang dicetuskan tarif baharu – meskipun republik itu hanya berdepan kadar asas tarif 10 peratus daripada Presiden AS, Donald Trump.
Pada 6 Ogos, Trump mengumumkan tarif 100 peratus ke atas cip daripada syarikat yang tidak melabur di AS, serta mengugut mengenakan tarif sehingga 250 peratus ke atas import farmaseutikal.
Penguncupan 42.7 peratus dalam eksport utama ke AS – pasaran terbesar Singapura – pada Julai banyak dipacu oleh kejatuhan 93.5 peratus dalam penghantaran farmaseutikal, menurut agensi Enterprise Singapore.
Sementara itu, eksport mesin khusus merosot 45.8 peratus manakala penghantaran makanan dan sediaan turun 48.8 peratus.
Eksport domestik bukan minyak ke China dan Indonesia turut merosot pada Julai, namun meningkat ke EU, Taiwan, Korea Selatan dan Hong Kong.
Minggu lalu, Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi 2025, tetapi memberi amaran bahawa prospek untuk baki tahun ini kekal suram akibat ketidaktentuan global, sebahagiannya berpunca daripada tarif AS.
Kementerian Perdagangan meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 1.5-2.5 peratus berbanding ramalan terdahulu 0-2.0 peratus.
Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad berkata beliau tidak terlalu lega dengan kadar tarif asas 10 peratus yang dikenakan AS ke atas Singapura. – AFP


