Singapura cipta antibodi, vaksin

SINGAPURA, 5 JUN – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata republik itu membuat pelaburan yang besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai vaksin, terapeutik dan diagnostik COVID-19 serta pada masa sama membina kapasiti pengeluaran vaksinnya.

“Penyelidik kami telah membangunkan pelbagai ujian serologi dan asid nuklit berasaskan diagnostik, yang telah dihantar ke lebih 20 negara,” kata Lee pada Sidang Kemuncak Vaksin Global yang dianjurkan bersama oleh kerajaan UK dan Gavi, Vaccine Alliance, melalui panggilan video, hari ini.

Lee berkata penyelidik Singapura turut membangunkan antibodi monoklonal terapeutik dan vaksin serta telah memulakan ujian klinikal pelbagai terapeutik.

“Pada masa sama, kami membina kapasiti pengeluaran vaksin kami. Kami berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan pengeluaran kontrak kepada pihak yang membangunkan vaksin.

“Ini akan membantu mereka meningkatkan pengeluaran dengan lebih cepat, dan memberi mereka jaminan standard keselamatan dan kualiti yang tinggi dalam proses pengeluaran,” kata Lee.

Perdana Menteri itu berkata menemui, menghasilkan dan mengagihkan vaksin yang selamat dan berkesan penting untuk mendapatkan kehidupan kembali normal walaupun terdapat COVID-19.

Beliau menyatakan harapannya bahawa sidang kemuncak itu akan dapat membantu memusatkan minda dan sumber, serta menjalin kerjasama untuk menggalakkan ‘multilaterisme vaksin’.

Sidang Kemuncak Vaksin Global adalah persidangan untuk membiayai imunisasi kanak-kanak di negara-negara miskin terhadap penyakit yang boleh membawa maut tetapi dapat dicegah.

Bagaimanapun, dengan COVID-19, acara maya itu juga merupakan peluang kepada negara-negara lain untuk sama-sama menyelaraskan usaha bagi membangunkan dan menghasilkan vaksin COVID-19, kata Lee.

Lee berkata Singapura menyambut baik saranan global kepada tindakan tersebut dan republik itu akan memainkan peranannya. “Kami telah menyumbang sebanyak AS$13 juta kepada usaha antarabangsa untuk memerangi COVID-19 melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Gabungan Inovasi Kesediaan Wabak (CEPI) serta sumbangan peralatan dan bekalan perubatan yang penting,” katanya. – Bernama