Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura keluarkan 1,288 senarai produk kesihatan haram

    SINGAPURA, 26 JUN – Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura telah menurunkan 1,288 penyenaraian produk kesihatan haram daripada platform e-dagang dan media sosial tempatan antara Disember 2024 hingga Mei 2025, menurut kenyataan agensi itu hari ini, lapor Xinhua.

    Amaran dikeluarkan kepada 732 penjual, termasuk seorang individu berusia 18 tahun yang didapati mempromosi dan menjual kanta lekap tidak berdaftar.

    Tiga kategori produk haram yang paling biasa dikeluarkan ialah ubat untuk masalah kulit dan rambut iaitu sebanyak 37 peratus daripada penyenaraian, krim, tablet dan kapsul antibiotik, antikulat dan antivirus 15 peratus, serta kanta lekap tidak berdaftar sebanyak 13 peratus.

    Daripada 1,288 penyenaraian produk yang diturunkan itu, 644 daripadanya adalah ubat preskripsi.

    Produk seumpama itu sering dibeli oleh pengguna yang mengubati diri sendiri, menurut pihak berkuasa itu, sambil memberi amaran yang pembelian ubat preskripsi dalam talian boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius.

    Ubat-ubatan itu mengandungi bahan yang kuat dan hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan yang betul. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda