SINGAPURA, 18 FEB – Pihak berkuasa Singapura kelmarin mengeluarkan amaran mengenai risiko berkongsi maklumat kad kredit bagi transaksi dalam talian, susulan laporan menunjukkan sekurang-kurangnya 656 kes kecurian maklumat kad melalui pautan memancing data atau phishing pada suku keempat 2024, lapor Xinhua.
Dalam satu kes pada November, scammer memperoleh maklumat kad kredit mangsa menerusi laman sesawang phishing berkaitan e-dagang.
Scammer itu kemudian menambah kad berkenaan ke dalam Apple Wallet miliknya, mendorong mangsa secara tidak sedar memasukkan kata laluan (OTP) yang dihantar ke telefon mereka. Tindakan itu memberi scammer akses penuh kepada maklumat kad mangsa.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura, Agensi Keselamatan Siber Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura, kira-kira 502 daripada 656 kes yang dilaporkan melibatkan kad yang dikaitkan kepada Apple Pay.
Pihak berkuasa kini bekerjasama rapat dengan bank, penyedia dompet digital seperti Apple, serta syarikat perkhidmatan kad bagi membendung jenayah itu.
Orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi maklumat perbankan dan kad kredit mereka dengan sesiapa serta berhati-hati ketika melakukan transaksi dalam talian. – Bernama
