KUALA LUMPUR, 10 NOV – Penumpang yang berlepas dari Singapura mulai 1 Oktober 2026 akan dikenakan levi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) antara S$1 hingga S$41.60, umum Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) hari ini.
Dalam kenyataan, CAAS memaklumkan levi itu, yang terpakai bagi tiket yang dijual mulai 1 April 2026, akan dikenakan berdasarkan setiap penumpang dan berbeza mengikut jarak perjalanan yang dibahagikan kepada empat zon geografi serta kelas kabin penerbangan.
“Jumlah levi SAF ditetapkan berdasarkan jumlah bahan api yang diperlukan untuk mencapai sasaran satu peratus penggunaan SAF bagi tahun 2026 serta perbezaan harga antara SAF dan bahan api jet konvensional, selain kos lain termasuk pensijilan, pencampuran dan penghantaran,” menurut kenyataan itu.
Sebagai contoh, penumpang yang terbang ke negara-negara Asia Tenggara di bawah Zon I akan dikenakan levi S$1 bagi kabin ekonomi (Kelas Ekonomi dan Premium Ekonomi) atau S$4 bagi kabin premium (Kelas Perniagaan dan Kelas Pertama).
CAAS menjelaskan bahawa levi itu akan dikutip oleh syarikat penerbangan dan tidak terpakai kepada penumpang transit di Singapura, manakala bagi penerbangan dengan beberapa hentian, levi akan dikira berdasarkan destinasi seterusnya selepas berlepas dari republik itu.
Sementara itu, levi SAF turut dikenakan bagi penghantaran kargo, dikira berdasarkan kadar setiap kilogram dan berbeza mengikut jarak perjalanan yang juga dibahagikan kepada empat zon geografi. Kadar levi itu bermula daripada S$0.01 sekilogram bagi Asia Tenggara (Zon I) hingga S$0.15 sekilogram bagi benua Amerika (Zon IV). – Bernama


