Singapura kurangkan tempoh notis tinggal di rumah

SINGAPURA, 23 JUN – Berkuat kuasa 24 Jun, Singapura akan mengurangkan tempoh Notis Tinggal di Rumah (SHN) di kemudahan khusus kepada 14 hari berbanding 21 hari untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi, menurut Kementerian Kesihatan republik itu hari ini.

Kementerian itu menyatakan Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) telah memantau situasi tempatan dan global, dan keputusan untuk mengurangkan tempoh SHN berdasarkan bukti terkini yang dikumpulkan sejak sebulan lalu.

“Pada akhir April 2021, hanya sedikit maklumat mengenai Varian Yang Membimbangkan (VOC) termasuk tempoh daya tahannya. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami mewajibkan pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi untuk mematuhi SHN 21 hari.

“Kami telah menyemak semula bukti antarabangsa dan data kes tempatan,” kata kementerian di laman webnya.

Semua negara atau wilayah dianggap berisiko tinggi kecuali Australia, Brunei Darussalam, Hong Kong, Macau, China dan New Zealand.

Walaupun terdapat peningkatan jangkitan varian baharu, kementerian menyatakan pihaknya tidak menemukan bukti – sama ada data luar negeri atau tempatan yang menunjukkan varian ini mempunyai jangka hayat lebih lama.

Sejak memperkenalkan SHN 21 hari dari 8 Mei 2021, kementerian itu berkata terdapat 270 kes diimport dilaporkan dalam kalangan pelancong pada 22 Jun 2021.

“Semua mereka yang dikuarantin didapati dalam keadaan baik untuk tempoh 14 hari. Oleh itu, kami akan mengurangkan tempoh SHN daripada 21 hari kepada 14 hari, “ katanya. – Bernama

Seorang wanita menolak kereta sorong anak damit melintasi pusaran hujan di Lapangan Terbang Jewel Changi di Singapura pada 23 Jun. Singapura bermula 24 Jun akan mengurangkan tempoh SHN kepada 14 hari. – AFP