Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura lancar platform banteras jenayah kewangan

    SINGAPURA, 1 APRIL – Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melancarkan COSMIC, platform digital berpusat yang pertama untuk memudahkan cara perkongsian maklumat pelanggan dalam kalangan institusi kewangan bagi membanteras pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan proliferasi kewangan global.

    Pembantu Pengarah Urusan MAS (Dasar, Pembayaran & Jenayah Kewangan), Loo Siew Yee berkata COSMIC membolehkan institusi kewangan untuk memberi amaran sesama mereka mengenai aktiviti yang mencurigakan dan membuat lebih banyak penilaian risiko dengan pengetahuan yang tepat pada masanya.

    “Ia melengkapkan kerjasama rapat industri dengan MAS dan pihak penguat kuasa untuk membanteras jenayah kewangan.

    “Ini akan mengukuhkan keupayaan Singapura untuk mendukung reputasi kami selain sebagai pusat kewangan yang dipercayai dan dikawal dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

    COSMIC dibangunkan bersama oleh MAS dan enam bank komersial utama di Singapura iaitu DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC dan Standard Chartered Bank, yang akan menjadi peserta institusi kewangan COSMIC semasa fasa awalnya.

    MAS berkata perkongsian maklumat pada masa ini adalah secara sukarela dan bertumpu kepada tiga jenayah kewangan utama dalam perbankan komersial seperti menyalah guna orang perundangan, pembiayaan perdagangan untuk tujuan haram dan pembiayaan proliferasi.

    “Sesebuah institusi kewangan yang menyertai COSMIC boleh berkongsi maklumat dengan peserta institusi kewangan yang lain sekiranya profil atau kelakuan pelanggan mempamerkan petunjuk tertentu mencurigakan yang ditakrifkan secara objektif atau ‘bendera merah’,” tambah MAS. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda