SINGAPURA, 15 FEB – Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, merasmikan latihan pertahanan menyeluruh pertama negara itu, Latihan SG Sedia, melalui pautan video hari ini untuk menandakan Hari Pertahanan Penuh negara itu.
Wong menyeru rakyat Singapura untuk memperbaharui komitmen mereka kepada dasar ‘Pertahanan Penuh’ dan bersatu dalam mempertahankan negara itu.
Lebih 500 buah organisasi pendidikan, komuniti, komersial dan kerajaan menyertai acara itu untuk melaksanakan tindak balas kecemasan apabila mengalami gangguan tenaga, air, bekalan makanan atau ketersambungan digital akibat serangan siber, kempen disinformasi dan serangan dron, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Singapura.
Latihan itu akan berlangsung sehingga 29 Februari.
Hari Pertahanan Penuh diperingati pada 15 Februari setiap tahun, iaitu hari yang sama ketika Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 1942 semasa Perang Dunia Kedua. Ia berfungsi sebagai peringatan kepada rakyat Singapura tentang tanggungjawab kolektif mereka untuk mempertahankan negara. – Xinhua
