SINGAPURA, 26 MAC – Bekas Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ravi Menon dilantik sebagai duta pertama bagi Tindakan Iklim Singapura berkuat kuasa 1 April.
Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS) berkata Menon yang juga dilantik sebagai penasihat kanan sekretariat itu akan memainkan peranan utama dalam usaha iklim Singapura di dalam dan luar negara.
“Beliau akan mewakili Singapura di platform tindakan iklim antarabangsa, untuk menyumbang kepada wacana global dan tindakan kolektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menon juga akan memacu perkongsian awam-swasta dengan pihak berkepentingan tempatan, khususnya komuniti perniagaan, untuk membantu mereka meraih peluang untuk berjaya dalam masa depan rendah karbon serta menasihati NCCS mengenai dasar dan tindakan iklim seluruh kerajaan.
Dalam peranannya sebelum ini di MAS, Menon membantu membina ekosistem kewangan hijau untuk menyokong peralihan Singapura dan Asia ke arah masa depan rendah karbon.
Beliau juga mengetuai usaha MAS untuk membangunkan taksonomi bagi pembiayaan peralihan, menjalin gabungan antarabangsa untuk menggalakkan kredit peralihan dan membina platform kewangan campuran untuk menangani jurang kewangan iklim dan meningkatkan kelayakan projek hijau dan peralihan di Asia.
NCCS ditubuhkan pada 2010 di bawah Pejabat Perdana Menteri untuk membangun dan melaksanakan dasar dan strategi domestik dan antarabangsa Singapura bagi menangani perubahan iklim. – Bernama