Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura luaskan skim bebas kuarantin

    SINGAPURA, 18 OKT – Pelancong yang lengkap divaksin dari lapan buah negara akan dibenarkan untuk memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin bermula esok (19 Oktober), ketika hab perdagangan itu mengurangkan sekatan dan bersedia untuk meneruskan kehidupan bersama koronavirus.

    Singapura sebelum ini melawan penularan pandemik dengan menutup sempadannya, perintah berkurung berkala yang dipertingkatkan dan menggiatkan pengesanan kontak namun dengan lebih 80 peratus penduduk divasinasi sepenuhnya, pihak berkuasa di negara itu ingin menghidupkan kembali ekonomi mereka.

    Mereka sebelum ini membukakan laluan perjalanan bagi penumpang yang divaksinasi sepenuhnya dari Brunei dan Jerman pada September dan akan meluaskannya bermula Selasa kepada lapan buah negara lagi iaitu Britain, Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

    Laluan dengan Korea Selatan akan bermula pada 15 November.

    Di bawah dasar tersebut, penumpang tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya mereka sudah diberikan vaksin lengkap dan diuji negatif dari dijangkiti koronavirus sebelum berlepas dan tiba.

    Orang ramai melihat pemandangan dari bangunan Marina Bay, Singapura. Singapura akan membenarkan pelancong dari lapan buah negara untuk melawati negara tersebut tanpa perlu menjalani kuarantin. – AFP

    ‘’Singapura tidak dapat ditutup dan melaksanakan perintah berkurung selamanya,’’ ujar Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 9 Oktober lalu, apabila beliau mengumumkan melonggarkan langkah di bawah strategi ‘Hidup Bersama COVID-19’.

    Lee menegaskan varian koronavirus Delta sebagai faktor.

    ‘’Varian Delta sangat mudah merebak dan menular di seluruh dunia. Malahan dengan seluruh penduduk sudah diberikan vaksin, kami tidak akan dapat lari daripadanya,’’ tambah beliau.

    ‘’Hampir setiap negara menerima realitinya.’’

    Sebagai tambahan untuk menumpukan penjagaan tempatan bagi kes domestik yang ringan dan tidak bergejala, Lee berkata Singapura perlu menyambung semula perjalanan antarabangsa.

    Singapura merupakan tempat bagi ribuan pejabat syarikat besar, yang menaikkan status Singapura sebagai hab perniagaan dan penerbangan untuk operasi mereka.– AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda