SINGAPURA, 5 FEB – Parlimen Singapura kelmarin meluluskan satu rang undang-undang yang akan menyatukan dan memperkukuh kuasa kerajaan, termasuk memperkenalkan penggunaan Perintah Sekatan (RO) bagi mengekalkan keharmonian kaum serta menangani ancaman berkaitan di negara itu.
Rang Undang-undang Mengekalkan Keharmonian Kaum (Rang Undang-undang RH) dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K. Shanmugam, bersama Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling.
Ia dibacakan bersama Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Republik Singapura, yang meminda kuasa Presiden di bawah Perlembagaan bagi melaksanakan cadangan dalam Rang Undang-undang RH.
Antara langkah yang diperkenalkan dalam Rang Undang-undang RH ialah rejim RO bagi menangani kandungan yang memudaratkan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta perlindungan bagi menghalang entiti berasaskan kaum daripada digunakan sebagai saluran pengaruh asing.
Pendekatan berasaskan komuniti yang dikenali sebagai Inisiatif Pemulihan Komuniti (CRI) memberi peluang kepada pesalah untuk memulihkan hubungan dengan komuniti yang terkesan akibat tindakan mereka.
“Rang Undang-undang RH bukan penyelesaian menyeluruh kepada semua cabaran berkaitan kaum, tetapi ia merupakan isyarat jelas terhadap iltizam kita untuk kekal bersatu sebagai satu bangsa,” kata Shanmugam.
Beliau turut memetik tinjauan 2024 melibatkan lebih 1,000 penduduk Singapura yang mendapati orang ramai menyokong pelbagai cadangan dalam Rang Undang-undang RH.
Sementara itu, Sun berkata Klausa 8 Rang Undang-undang RH membolehkan Menteri Ehwal Dalam Negeri mengeluarkan RO terhadap individu yang terlibat dalam komunikasi, penghasilan atau pengedaran kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum di Singapura.
Bagaimanapun, pengeluaran RO akan tertakluk kepada perlindungan ketat, termasuk semakan oleh Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) yang akan ditubuhkan di bawah Rang Undang-undang tersebut. – Bernama