Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura mulakan kempen vaksinasi koronavirus

    SINGAPURA, 30 DIS – Singapura telah memulakan kempen vaksinasi koronavirus hari ini dengan seorang jururawat menjadi penerima pertama suntikan vaksin, menjadikan ia antara negara pertama Asia yang memulakan inokulasi.

    Singapura yang telah mengalami penularan sederhana itu menjadi negara pertama di Asia yang meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech awal bulan ini dengan programnya dimulakan ke atas kakitangan penjagaan kesihatan.

    Sarah Lim, 46, yang tugasnya termasuk menyaring individu disyaki dijangkiti COVID-19 menjadi yang pertama diimunisasi, menurut Kementerian Kesihatan.

    “Saya merasa beruntung dan bersyukur menjadi orang pertama yang divaksinasi,” jururawat dari Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) itu dipetik sebagai berkata oleh akhbar Straits Times.

    Lebih 30 kakitangan dari pusat tersebut telah menerima dos pertama vaksin dua suntikan berkenaan hari ini dan akan menerima suntikan kedua bulan depan.

    Selepas kakitangan penjagaan kesihatan, bandar itu akan memvaksin warga emas dan penduduknya.

    Kerajaan negara itu dijangka mempunyai vaksin yang mencukupi buat semua 5.7 juta penduduk di bandar itu menjelang suku ketiga tahun 2021, dengan pemvaksinan sukarela percuma buat semua warga Singapura dan penduduk tetap.

    Negara-negara lain yang sudah pun memulakan imunisasi termasuk Britain, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, walaupun kebanyakan negara-negara Asia belum lagi memulakannya. – AFP

    Jururawat, Sarah Lim dari NCID Singapura menerima vaksin COVID-19 ketika negara itu memulakan kempen vaksinasi, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda