SINGAPURA, 12 OGOS – Singapura hari ini menaikkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi tahun 2025, namun memberi amaran bahawa prospek bagi baki tahun ini masih diselubungi ketidaktentuan global, sebahagiannya disebabkan tarif Amerika Syarikat (AS).
Ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu banyak bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan mudah terjejas kepada sebarang krisis global yang berpunca daripada tarif, meskipun hanya berdepan kadar tarif asas 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Kementerian Perdagangan negara itu meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 1.5 hingga 2.5 peratus, berbanding jangkaan terdahulu antara sifar hingga 2.0 peratus.
“Peningkatan ini banyak dipengaruhi oleh prestasi ekonomi Singapura pada separuh pertama 2025 yang lebih baik daripada jangkaan,” menurut kenyataan kementerian itu.
“Bagaimanapun, prospek ekonomi untuk baki tahun ini masih kabur dengan risiko cenderung kepada penurunan.”

Langkah itu diambil selepas ekonomi mencatat pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, berbanding 4.1 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelumnya.
Kementerian turut memberi amaran prospek global kekal tidak stabil, dengan merujuk kepada ‘ketidakpastian berterusan’ dalam dasar perdagangan AS, termasuk masa pelaksanaan dan skop tarif sektor farmaseutikal dan semikonduktor – kedua-duanya merupakan eksport utama Singapura.
Minggu lalu, Trump mengumumkan tarif 100 peratus ke atas cip daripada syarikat yang tidak melabur di AS, dan mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 250 peratus terhadap import farmaseutikal.
Pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka perlahan pada separuh kedua tahun ini berbanding separuh pertama, menurut kementerian itu.
“Khususnya, kadar pertumbuhan sektor pembuatan dijangka merosot dalam suku-suku mendatang apabila langkah tarif AS menjejaskan permintaan di pasaran akhir global,” jelasnya.
Sektor perdagangan borong juga dijangka merosot apabila aktiviti permulaan di rantau ini berkurangan dan perdagangan global menjadi lembap, manakala penurunan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran laut dan kargo udara boleh menjejaskan sektor pengangkutan serta penyimpanan.
Kementerian itu berkata penggantungan 90 hari yang diumumkan Trump terhadap tarifnya pada awal April bermakna ‘prestasi kebanyakan ekonomi maju dan serantau lebih kukuh daripada jangkaan ketika (ia) menangguhkan potensi kesan negatif terhadap ekonomi”.
Kementerian itu menegaskan akan ‘terus memantau perkembangan dalam ekonomi global dan domestik dengan teliti, serta membuat penyelarasan terhadap unjuran jika perlu sepanjang tahun ini.’ – AFP

