SINGAPURA, 7 JAN – Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu di Parlimen hari ini, bertujuan untuk menyatukan dan memperkukuh kuasa kerajaan bagi mengekalkan keharmonian kaum di negara ini.
MHA memaklumkan bahawa RUU Pemeliharaan Keharmonian Kaum itu merujuk rapat kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama (MHRA) yang digubal pada 1990 untuk mengekalkan keharmonian agama.
“RUU ini mencerminkan tekad teguh kami untuk memperkukuh perpaduan kaum dan kekal bersatu sebagai satu rakyat. Ia mencapai keseimbangan antara memastikan wacana awam bebas daripada ucapan berunsur kebencian, sambil menyediakan ruang untuk perbincangan yang sah,” menurut kenyataan MHA.
Cadangan utama dalam RUU itu termasuk memperkenalkan rejim Perintah Sekatan (RO) untuk menangani kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani insiden perkauman, serta langkah keselamatan untuk mengelakkan entiti berasaskan kaum digunakan sebagai saluran pengaruh asing.
RUU itu akan membolehkan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan RO terhadap individu yang terlibat dalam komunikasi, pengeluaran atau penyebaran kandungan yang menjejaskan usaha mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.
RO berkaitan kandungan perkauman itu antaranya, boleh melarang individu daripada berkomunikasi atau menyebarkan maklumat atau bahan tertentu, serta daripada memegang jawatan dalam lembaga pengarang atau jawatankuasa penerbitan tertentu.
Kegagalan mematuhi RO adalah satu kesalahan. Namun, sebagai langkah keselamatan, semua RO akan disemak oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH) serta tertakluk kepada pengesahan Presiden.
Sementara itu, RUU ini turut mencadangkan agar entiti berasaskan kaum mematuhi dasar bagi mencegah pengaruh asing, termasuk keperluan untuk mendedahkan sumbangan asing dan tanpa nama yang diterima, hubungan luar, serta komposisi kepimpinan mereka. – Bernama