Sunday, March 9, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura perkenal skim baharu bagi sokong penyahkarbonan kenderaan berat

    SINGAPURA, 6 MAC – Singapura akan memperkenalkan Skim Pelepasan Sifar Kenderaan Berat (HVZES) dan Geran Pengecas Kenderaan Berat Elektrik (EHVCG) untuk menyokong penyahkarbonan kenderaan berat, yang kini menyumbang kira-kira 31 peratus daripada pelepasan pengangkutan darat.

    Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan inisiatif itu bertujuan untuk mengecilkan jurang kos pemilikan antara kenderaan berat elektrik (eHV) dan kenderaan berat enjin pembakaran dalaman (ICE), serta menyokong pemasangan pengecas eHV di Singapura.

    “Terdapat kira-kira 52,000 kenderaan berat di Singapura pada masa ini. Dengan lebih banyak model kenderaan berat elektrik yang sedia untuk dikomersialkan tersedia di pasaran, kini adalah masa yang sesuai untuk menggiatkan usaha penyahkarbonan bagi segmen ini untuk menyokong penyahkarbonan keseluruhan pengangkutan darat Singapura,” kata LTA dalam satu kenyataan.

    Kedua-dua skim itu akan bermula dari 1 Januari 2026, dan akan tersedia selama tiga tahun sehingga 31 Disember 2028.

    Di bawah HVZES, pemilik yang mendaftarkan kenderaan barangan berat atau bas dengan pelepasan sifar ekzos, termasuk kenderaan barang dan penumpang dengan Berat Muatan Maksimum (MLW) melebihi 3,500kg, akan menerima insentif sebanyak S$40,000 (kira-kira RM132,000).

    Sementara itu, EHVCG akan membiayai bersama sehingga 50 peratus daripada kos pemasangan pengecas eHV, dihadkan pada S$30,000 (kira-kira RM99,000) bagi setiap pengecas.

    Ia akan terpakai kepada 500 pengecas pertama, dengan had sehingga tiga pengecas bagi setiap tapak.

    “Syarikat perlu membeli sekurang-kurangnya satu eHV dengan setiap pengecas dan pengecas mesti digunakan di tempat perniagaan pemilik, kata LTA, sambil menambah bahawa pengecas mesti dipasang di lot lori atau koc yang ditetapkan dan mempunyai penarafan kuasa minimum sebanyak 50kW. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda