Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura perketat peraturan masa skrin kanak-kanak

    SINGAPURA, 21 JAN – Singapura telah memperkenalkan langkah lebih ketat bagi mengawal penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak di sekolah dan prasekolah sebagai sebahagian daripada inisiatif kesihatan pelbagai kementerian yang dilancarkan hari ini, lapor Xinhua.

    Bermula 1 Februari, prasekolah akan menguatkuasakan peraturan baharu yang melarang penggunaan skrin untuk kanak-kanak di bawah usia 18 bulan dan mengehadkannya kepada tujuan pembelajaran dan pengajaran bagi kanak-kanak berusia 18 bulan hingga enam tahun, menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.

    Pendidik juga akan dibimbing untuk mengutamakan ‘pengalaman bermakna’ berbanding aktiviti tidak aktif seperti masa skrin yang berpanjangan dan duduk terlalu lama.

    Sekolah rendah dan menengah telah melaksanakan langkah yang sama, dengan mewajibkan pelajar menyimpan telefon mereka di kawasan yang ditetapkan semasa sesi pembelajaran dan mengehadkan penggunaan peranti pada masa serta lokasi tertentu seperti semasa rehat atau selepas sekolah.

    Kementerian Kesihatan turut mengemas kini saranannya kepada ibu bapa, dengan menyarankan masa skrin kurang daripada satu jam sehari bagi kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dan kurang daripada dua jam untuk mereka berumur tujuh hingga 12 tahun, tidak termasuk tugasan sekolah.

    Ibu bapa juga digesa mengehadkan akses kanak-kanak kepada peranti mudah alih dan media sosial.

    Langkah itu merupakan sebahagian daripada ‘Grow Well SG’, strategi promosi kesihatan kebangsaan baharu yang dilancarkan oleh ketiga-tiga kementerian. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda