SINGAPURA, 30 NOV – Singapura akan mempertingkat protokol ujiannya untuk pengembara yang tiba di republik itu mulai 3 Disember 2021, termasuk melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara sebagai langkah tambahan untuk mengesan dan membendung varian Omicron.
Semua pengembara menerusi VTL udara yang tiba selepas tarikh dan masa ditetapkan tamat, perlu menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) kendiri di Pusat Ujian Pantas Antigen pada hari ke-3 dan ke-7 ketibaan.
Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19 republik itu, bagi peringkat pertama langkah tersebut akan dilaksanakan selama empat minggu dan akan disemak dan dilanjutkan jika perlu.
Bercakap pada sidang media maya di sini hari ini, pengerusi bersama MTF, Gan Kim Yong berkata langkah itu bagaimanapun tidak melibatkan VTL-Land (darat) dengan Malaysia.
Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu berkata risiko jangkitan import melalui skim VTL darat sudah dikurangkan menerusi sekatan perjalanan yang dikenakan Malaysia ke atas negara dan wilayah yang terjejas oleh Omicron.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) memaklumkan bahawa dua pengembara dari Afrika Selatan yang transit di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Australia disahkan positif varian Omicron COVID-19.
MOH berkata Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) mengesahkan bahawa kedua-dua pengembara yang tiba di Sydney dari selatan Afrika dengan penerbangan Singapore Airlines SQ211 pada 28 Nov disahkan positif bagi varian baharu itu.
Kementerian berkata pengembara itu berlepas dari Johannesburg pada 27 Nov melalui Singapore Airlines SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama untuk penerbangan transit mereka.
“Saringan COVID-19 yang dibuat sebelum mereka berlepas di Afrika Selatan pada 27 Nov adalah negatif,” katanya dalam kemas kini harian mengenai COVID-19 lewat malam tadi. – Bernama
