Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura rampas tanduk badak bernilai lebih AS$800,000

    SINGAPURA, 19 NOV – Singapura telah merampas tanduk badak yang bernilai lebih AS$800,000 dan bahagian haiwan haram yang disembunyikan dalam kargo udara menuju Laos, kata pihak berkuasa kelmarin dalam rampasan terbesar bagi negara itu.

    Dinyatakan sebagai ‘aksesori perabot’, simpanan itu ditemui 10 hari lalu selepas seorang pengendali kargo ‘mengesan bau kuat’ dari sebuah bungkusan, menurut Lembaga Taman Negara Singapura dan pengendali kargo udara SATS dalam kenyataan bersama.

    Pihak berkuasa undang-undang Singapura dimaklumkan dan menemui “20 batang tanduk badak seberat 35.7 kilogram (kg), bersama kira-kira 150kg bahagian haiwan lain”, kata kenyataan itu.

    Jumlah nilai rampasan itu dianggarkan sekitar AS$870,000.

    Kesemua 20 tanduk itu dikenal pasti milik badak putih Afrika Selatan.

    Pihak berkuasa sedang menyiasat asal usul bahagian haiwan lain yang ditemui.

    Badak dilindungi di bawah konvensyen perlindungan hidupan liar CITES dan perdagangan antarabangsa tanduknya adalah dilarang.

    Tanduk-tanduk berkenaan akan dimusnahkan mengikut garis panduan CITES, kata pihak berkuasa Singapura.

    Tanduk badak dianggap simbol status dan dipercayai mempunyai khasiat perubatan di beberapa bahagian Asia.

    Ia juga diukir menjadi barang kemas dan barangan rumah, termasuk sikat, butang dan kepala tali pinggang.

    Rampasan tanduk badak terbesar sebelum ini di Singapura berlaku pada Oktober 2022, apabila 34.7 kg komoditi terlarang itu ditemui dalam beg seorang lelaki Afrika Selatan di Lapangan Terbang Changi.

    Penyeludup itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Januari tahun lalu.

    Lebih 2,700 badak diburu di Afrika antara 2018 dan 2021, dengan 90 peratus daripadanya dibunuh di Afrika Selatan, terutamanya di Taman Negara Kruger.

    Menjadi habitat kepada hampir 80 peratus badak dunia, Afrika Selatan kekal sebagai pusat pemburuan haram yang didorong oleh permintaan dari Asia. – AFP

    Tanduk badak yang dirampas oleh pihak berkuasa ketika pemeriksaan terhadap satu penghantaran menuju Laos di Singapura pada 18 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda