Singapura sah 17 kematian, 657 kes positif baharu

SINGAPURA, 3 MEI – Singapura hari ini mengesahkan 17 kematian dan tambahan 657 kes positif COVID-19, dengan hanya 10 daripadanya melibatkan rakyat Singapura, atau penduduk tetap.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar daripada kes-kes itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Susulan angka terbaharu, jumlah kes positif di Singapura kini ialah 18,205.

“Jumlah kes di kalangan pekerja asing tidak menentu sejak beberapa hari lepas disebabkan usaha menangani kes-kes tertangguh oleh sebuah makmal. Pihak kementerian sedang bekerjasama dengan makmal berkenaan untuk menstabilkan operasinya,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata pihaknya masih berusaha mendapatkan perincian kes-kes berkenaan, dan akan mengemas kini maklumatnya nanti.

Seorang lelaki yang bersedia untuk memasuki sebuah pasar raya menunjukkan dokumen pengenalannya kepada anggota kakitangan untuk pengesahan sebelum memasuki premis sebagai langkah pencegahan terhadap penularan COVID-19. – AFP

Dalam kenyataan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH), berkata mangsa terbaharu, seorang lelaki rakyat Singapura berusia 76 meninggal dunia di Hospital Besar Changi pada Jumaat.

Dilabel sebagai kes 1,323, mangsa itu diuji positif COVID-19 pada 6 April dan mempunyai sejarah menghidap barah, kata MOH.

Sementara itu, MOH melaporkan satu lagi kematian pada hari sama iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

Bagaimanapun, lelaki itu, yang merupakan kes 17,410, disahkan dijangkiti COVID-19 setelah beliau meninggal dunia.

“Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematiannya,” menurut MOH.

MOH juga melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan merupakan antara kes positif baharu semalam.

Pesakit kes ke-17,267 itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang dilanda wabak itu dan kini dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Wanita berusia 27 tahun, yang bekerja sebagai jurukemas NUH, disahkan dijangkiti COVID-19 pada 30 April lalu dan tidak bekerja sejak mempunyai gejala penyakit itu.

Sehingga kini, MOH melaporkan seramai 1,347 pesakit sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti manakala 24 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Daripada kes baharu semalam, enam adalah kes dalam komuniti, 10 pemegang permit kerja yang menginap di luar asrama pekerja dan 431 adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama. – Bernama