Singapura sahkan 71 kes Omicron setakat Isnin

SINGAPURA, 21 DIS – Singapura melaporkan 71 kes Omicron setakat Isnin (20 Disember), dengan 65 kes import dan enam jangkitan tempatan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Satu kluster melibatkan tiga kes COVID-19 yang dikaitkan dengan pusat kecergasan juga telah dikesan pada Isnin, dua kes diuji positif untuk varian itu manakala hasil ujian kes selebihnya belum selesai.

“Ketiga-tiga kes sudah lengkap vaksin dan mempunyai gejala ringan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada lewat Isnin.

MOH Singapura sedang melakukan pengesanan kontak.

Ketiga-tiga kes itu, melibatkan mereka berumur antara 18 dan 24 tahun, tidak mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini.

Menurut MOH siasatan epidemiologi mendapati mereka baru-baru ini melawat pusat kecergasan antara 15 dan 17 Disember 2021.

Petugas dan pelawat pusat itu dikenal pasti sebagai kontak rapat akan dikuarantin dan sebagai langkah berjaga-jaga, pengunjung lain yang mengunjungi pusat itu antara 15 dan 17 Disember akan diberikan amaran risiko kesihatan (HRW).

“Mereka juga akan dihubungi oleh kementerian untuk ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) sekali,” menurut kementerian itu. – Bernama