Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Singapura, Thailand mahu tingkat kerjasama ekonomi

    SINGAPURA, 13 OKT – Pemimpin Singapura dan Thailand membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ke Singapura pada kelmarin.

    Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Srettha juga bersetuju mengenai keperluan untuk kerjasama erat dalam ASEAN, terutamanya mengenai inisiatif seperti projek penyepaduan kuasa “yang akan berfungsi sebagai pencari laluan penting kepada grid kuasa ASEAN,” kata Kementerian Luar Negeri Singapura (MFA) dalam satu kenyataan.

    Srettha, 61, dalam lawatan pertamanya ke Singapura sejak memegang jawatan pada Ogos lalu, dan berada di Singapura selama sehari sebagai sebahagian daripada lawatan serantau.

    Semasa makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh PM Lee di Istana, kedua-dua pemimpin memuji persahabatan bersejarah antara kedua-dua negara, seperti yang dilambangkan dengan patung gajah gangsa daripada Raja Chulalongkorn Thailand, yang masih berdiri di luar Bangunan Parlimen Lama Singapura.

    PM Lee berkata kedua-dua negara kini mempunyai hubungan rapat merentasi banyak sektor, termasuk ekonomi, pertahanan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

    Hubungan ekonomi antara kedua-dua negara adalah besar, katanya, dengan Singapura dan Thailand berada di antara 10 rakan dagang terbesar satu sama lain pada tahun 2022.

    Perdagangan dua hala pada tahun itu meningkat hampir suku tahun ke tahun kepada AS$42.1 bilion, manakala Singapura merupakan sumber kedua tertinggi pelaburan langsung asing di Thailand pada separuh pertama 2023.

    PM Lee berkata terdapat banyak bidang yang menjanjikan untuk kerjasama ekonomi yang boleh diteruskan oleh kedua-dua negara.

    Ekonomi digital adalah satu bidang, katanya, memetik sistem pembayaran pantas rentas sempadan antara PayNow Singapura dan PromptPay Thailand yang membolehkan pengguna di kedua-dua pihak memindahkan wang menggunakan nombor mudah alih mereka. – ANN/The Straits Times

    Srettha Thavisin (kiri) bertemu Lee Hsien Loong (kanan) di Istana pada kelmarin. – ANN/The Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda