SINGAPURA, 19 OGOS – Singapura menandatangani perjanjian pelaksanaan kerjasama kredit karbon dengan Thailand hari ini, yang merupakan perjanjian pertama seumpamanya dengan sebuah negara ASEAN, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Singapura, Dr Tan See Leng dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Chalermchai Sri-on di luar Forum Perniagaan Serantau Singapura (SRBF) ke-9 di Bangkok, Thailand.
“Perjanjian pelaksanaan ini mewujudkan satu rangka kerja bagi penjanaan dan pemindahan kredit karbon daripada projek mitigasi karbon yang sejajar dengan Perkara 6 Perjanjian Paris,” kata MTI dalam satu kenyataan.
Pemaju projek boleh memanfaatkan rangka kerja ini untuk membangunkan projek kredit karbon berkualiti tinggi yang menepati buku peraturan Perkara 6.
MTI menyatakan bahawa perjanjian itu akan mengukuhkan aspirasi iklim kedua-dua negara dengan mengarahkan pembiayaan bagi membuka potensi pengurangan tambahan di Thailand.

Projek pengurangan karbon yang diluluskan di bawah perjanjian ini akan menggalakkan pembangunan mampan dan memberi manfaat nyata kepada komuniti tempatan, termasuk pewujudan pekerjaan, peningkatan pengurusan sisa, penambahbaikan kecekapan tenaga serta pengurangan pencemaran alam sekitar.
Dr Tan berkata perjanjian ini adalah bukti hubungan dua hala yang kukuh serta tekad bersama untuk melaksanakan Perjanjian Paris secara praktikal dan berkesan.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kami, dan adalah amat bermakna apabila tindakan iklim kini menjadi satu daripada tonggak penting kerjasama, mencerminkan komitmen bersama kami dalam menangani cabaran global,” katanya.
Dr Tan berkata beliau berharap perjanjian ini dapat menjadi perintis bagi rantau ini dengan menunjukkan bagaimana Asia Tenggara boleh membangunkan dan memperluaskan projek kredit karbon berkualiti tinggi yang akan mengurangkan pelepasan dengan berkesan, sambil membuka peluang baharu dalam pasaran karbon untuk sektor perniagaan. – Bernama

