Singapura, Thailand terus berwaspada

SINGAPURA, 28 JAN – Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan kes import kelima jangkitan novel Koronavirus di negara itu.

Dalam kenyataan terkini, kementerian berkenaan berkata kes terbaharu itu melibatkan seorang wanita warga China berumur 56 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada 18 Januari.

Beliau sedang dirawat di bilik isolasi di National Centre for Infectious Diseases (NCID) dan keadaannya stabil, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pengesanan kontak bagi kes-kes yang disahkan juga sedang berlangsung dan sebaik sahaja dikenal pasti, Kementerian Kesihatan Singapura akan memantau dangan rapi semua pihak yang mempunyai kontak dengan mereka.

Kementerian itu turut mengenal pasti 115 kontak yang mempunyai hubungan rapat dengan empat kes yang telah disahkan sebelum ini.

Sementara itu, Thailand telah merancang membawa pulang rakyatnya dari bandar Wuhan, China, tempat penularan wabak 2019 novel koronavirus.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand, Thana Weskosith berkata terdapat 64 warga Thailand di Wuhan dan 18 lagi menetap di Wilayah Hubei.

Pada masa ini, beliau berkata Wuhan dan Wilayah Hubei yang dilanda wabak itu, masih dikenakan perintah kuarantin.

“Tiada negara yang dibenarkan membawa keluar warganegaranya.

“Bagaimanapun, kami bersedia untuk membawa pulang warga Thailand, jika pihak berkuasa China memberi kelulusan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pusat Respons Pantas (RRC) di Kementerian Luar di sini hari ini. – Bernama