SINGAPURA, 16 APRIL – Singapura tidak menolak kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi tahun ini disebabkan ketidaktentuan global berpunca daripada tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata menteri perdagangannya hari ini.
Ekonomi negara itu merupakan barometer untuk perdagangan global kerana pergantungan yang besar terhadap permintaan dunia, tetapi ia kini terancam selepas Trump mengenakan tarif menyeluruh ke atas berpuluh-puluh negara.
Peningkatan tarif telah ditangguh selama 90 hari, tetapi Trump berkata tidak ada negara yang akan terkecuali.
“Memandangkan potensi risiko menurun, kami tidak boleh menolak kemungkinan alami kemelesetan ekonomi tahun ini,” kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
Perdagangan, Gan Kim Yong semasa sidang media.
Kementerian Perdagangan Isnin lalu menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini kepada antara sifar dan 2.0 peratus, daripada unjuran sebelumnya 1.0 hingga 3.0 peratus.

Kesan tarif AS di seluruh dunia telah mencetuskan ketidakpastian dan risiko dalam ekonomi global, dan kami perlu bersedia hadapi lebih banyak kejutan dan cabaran pada masa hadapan,” kata Gan.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasukan petugas kerajaan yang dibentuk untuk membantu negara yang bergantung kepada perdagangan itu menghadapi kesan tarif.
Walaupun Trump mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas Singapura, negara itu terdedah kepada kegawatan ekonomi global disebabkan cukai yang lebih tinggi. – AFP