SINGAPURA, 7 MEI – Singapura menubuhkan sebuah entiti baharu, Singapore GasCo bagi memusatkan perolehan dan pembekalan gas asli bagi sektor tenaga negara itu — satu pencapaian penting dalam perjalanan peralihan tenaganya.
Penguasa Pasaran Tenaga (Energy Market Authority) dan Singapore GasCo dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan entiti milik penuh kerajaan itu ditubuhkan untuk memanfaatkan skala ekonomi, memperoleh syarat kontrak gas yang lebih menguntungkan, mendapatkan bekalan gas asli daripada pelbagai sumber serta menandatangani kontrak jangka panjang bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga.
“Singapore GasCo akan memainkan peranan penting dalam menyokong sistem tenaga yang selamat, berdaya tahan dan berdaya saing dari segi kos, selaras dengan usaha kita menuju masa depan yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pavilion Energy, Alan Heng dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Singapore GasCo.
Beliau mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam sektor tenaga, termasuk dalam bidang gas asli, dan pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan membabitkan perancangan, operasi dan pemasaran sepanjang 23 tahun berkhidmat di ExxonMobil.
Pada masa ini, gas asli menyumbang kira-kira 95 peratus daripada penjanaan elektrik di Singapura.
“Dalam usaha kita untuk mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan tenaga dan menyokong peralihan yang teratur,” menurut kenyataan itu. – Bernama
