Keyakinan diri bagi setiap lelaki adalah elemen penting dalam membina hubungan sosial, terutamanya apabila berinteraksi dengan perempuan.
Namun demikian, satu masalah yang sering diabaikan tetapi sangat mempengaruhi keyakinan diri seorang lelaki adalah bau badan.
Masalah tersebut bukan sahaja memberikan kesan kepada persepsi orang lain, tetapi juga menjadikan lelaki itu berasa malu dan kurang yakin untuk mendekati atau berbual dengan perempuan.
Persoalannya mengapa bau badan menjadi isu? Bau badan terjadi apabila peluh bercampur dengan bakteria yang terdapat di permukaan kulit, khususnya di kawasan seperti ketiak.
Walaupun peluh secara semula jadi tidak berbau, bakteria yang memecahkan peluh menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.
FAKTOR PENYEBAB BAU BADAN
Diet tidak seimbang
Pengambilan makanan berbau kuat seperti bawang putih dan rempah boleh meningkatkan bau badan.
Ini berlaku kerana bahan aktif dalam makanan tersebut, seperti sulfur dalam bawang putih, diserap ke dalam aliran darah dan dilepaskan melalui peluh.
Kebersihan diri
Kekurangan rutin mandi, terutamanya selepas melakukan aktiviti fizikal boleh menyebabkan peluh dan bakteria terkumpul pada permukaan kulit.
Apabila bakteria itu memecahkan peluh, ia menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.
Masalah kesihatan
Keadaan seperti hiperhidrosis (peluh berlebihan) atau perubahan hormon.
Hiperhidrosis iaitu keadaan di mana seseorang menghasilkan peluh secara berlebihan, walaupun tanpa rangsangan seperti suhu panas atau aktiviti fizikal.
Peluh yang berlebihan tersebut menyediakan persekitaran yang ideal untuk pembiakan bakteria, di mana ia seterusnya akan menghasilkan bau yang kuat.
LANGKAH MENGATASINYA
Meningkatkan kebersihan diri
Mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan gunakan sabun antibakteria. Jangan lupa untuk mencukur kawasan ketiak bagi mengurangkan pengumpulan bakteria.
Penggunaan deodoran yang betul
Penggunaan deodoran yang betul memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan dan mengawal bau badan.
Deodoran berfungsi dengan cara menutup bau yang dihasilkan oleh bakteria yang memecahkan peluh.
Pemilihan pakaian yang sesuai
Pakai pakaian yang diperbuat daripada bahan yang boleh menyerap peluh seperti kapas.
Amalkan diet sihat
Kurangkan makanan yang boleh menyebabkan bau badan seperti bawang putih, kafein dan alkohol.
Berjumpa doktor jika perlu
Jika masalah berterusan, dapatkan nasihat daripada doktor untuk rawatan lanjut.
Bau badan bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan sosial, tetapi juga boleh menjejaskan keyakinan seorang lelaki.
Oleh itu, mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut bukan sahaja penting untuk kesihatan fizikal, tetapi juga untuk kesejahteraan emosi. – Agensi