SINGAPURA, 15 Ogos – Syarikat pemula niaga teknologi kewangan Singapura, SingX berjaya mengumpulkan dana sejumlah S$6.3 million dalam pusingan kedua susulan pengembangan perkhidmatan kiriman wang dalam taliannya ke dua pasaran baru iaitu Malaysia dan Hong Kong.
Diasaskan oleh bekas ahli perbankan American Express, Atul Garg, perniagaan syarikat itu berjalan lancar sejak pelancaran produk pertama membabitkan pemindahan dana rentas sempadan dari Singapura ke India pada Januari lepas.
“Pembiayaan terbaharu oleh para pelabur kami akan membantu meningkatkan perniagaan dengan lebih pantas, berkembang ke lokasi baharu serta membangunkan beberapa produk lain untuk memenuhi keperluan pembayaran rentas sempadan oleh rakyat Singapura dan syarikat mereka,” kata Garg yang merupakan Pengasas Utama dan Ketua Pegawai Eksekutif SingX dalam satu kenyataan, hari ini.
Selepas enam bulan beroperasi dan berdasarkan kadar bulanan semasanya, prestasi platform kiriman wang dalam talian SingX dijangka mencecah S$100 juta setahun.
Para pelabur dalam pengumpulan dana peringkat kedua atau prasiri A termasuk ahli perbankan kanan dan individu hartawan dengan nilai kekayaan tinggi dari Singapura dan Hong Kong.
Platform dalam talian SingX dikatakan lebih murah, pantas dan mudah kerana mengenakan caj pada kadar lebih rendah berbanding bayaran khidmat kiriman wang luar negara yang lain.
Berbanding pemindahan menerusi bank, pengguna SingX dapat menjimatkan sehingga 90 peratus caj khidmat kiriman wang ke India, Malaysia serta Hong Kong.
Garg berkata, SingX memperkenalkan khidmat itu ke Malaysia dan Hong Kong berikutan pasarannya yang melibatkan banyak pembayaran rentas sempadan sejajar faktor hubungan lama yang terjalin dengan Singapura.
Pada masa ini, ada seramai 350,000 rakyat Malaysia di Singapura yang menghantar wang ke negara asal bagi tujuan pembayaran pinjaman, bil, tanggungan keluarga dan perbelanjaan lain.
Perkhidmatan kiriman wang SingX ke Hong Kong turut dilihat menarik kepada ramai warga Singapura yang melabur dalam saham, hartanah dan perdagangan dengan wilayah itu serta China.
Selain pengguna, platform SingX juga membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjalin hubungan perniagaan di India dan Hong Kong melakukan pembayaran rentas sempadan berkaitan.
Mengikut Jabatan Perangkaan Singapura, import Hong Kong ke Singapura mencecah kira-kira S$3 bilion setahun manakala Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar Singapura pada 2016. – Bernama