ROM, 16 MEI – Pemain pilihan tuan rumah, Jannik Sinner, mara ke separuh akhir Terbuka Itali kelmarin selepas menumpaskan Casper Ruud 6-0, 6-1, ketika Coco Gauff memenangi dalam pertarungan tiga set dengan pemain China, Zheng Qinwen untuk mara ke final wanita selama lebih tiga setengah jam, dengan keputusan 7-6 (7/3), 4-6, 7-6 (7/4).
Gauff dari Amerika Syarikat, akan menentang pemain tuan rumah, Jasmine Paolini pada perlawanan akhir esok.
Ruud dianggap lawan paling sukar bagi Sinner di Rom sejak Sinner kembali daripada penggantungan tiga bulan akibat isu doping. Dia berada dalam prestasi cemerlang di gelanggang, kerana dia baru memenangi kejohanan di Madrid awal bulan ini.
Dalam perlawanannya sebelum ini, Sinner dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri selepas digantung oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) kerana didapati positif clostebol pada Mac tahun lalu.
Namun pemain 23 tahun itu, berjaya menewaskan pemain pilihan keenam, Ruud, dalam masa lebih sejam dengan aksi yang luar biasa di hadapan penonton yang memenuhi gelanggang utama sehingga penyokong Itali seolah-olah kasihan dan mula bersorak setiap kali Ruud berjaya memenangi mata.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya hari ini. Saya rasa pergerakan saya lancar dan saya dapat membaca bola dengan baik,” kata Sinner kepada media.
Malah, Ruud mendapat sorakan paling lantang dalam perlawanan itu apabila dia menahan servisnya buat pertama kali, dalam permainan ketiga set kedua, sambil mengangkat tangannya dalam kegembiraan.
“Dia ada di mana-mana dan saya seperti bermain menentang tembok yang menghantar bola 100 batu sejam setiap masa. – AFP
