Saturday, July 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner bersatu semula dengan bekas jurulatih Umberto

    PARIS, 24 JULAI – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, kembali bekerjasama dengan Umberto Ferrara, jurulatih kecergasan yang telah dipecatnya pada musim panas 2024 selepas pemain Itali itu didapati positif doping, menurut pengumuman pasukan pengurusannya kelmarin.

    Sejak pendedahan keputusan ujian positif Sinner terhadap steroid anabolik clostebol, Sinner secara konsisten menegaskan dirinya tidak bersalah, dan meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas pasukannya.

    Walaupun dia segera menamatkan khidmat Ferrara dan ahli fisioterapinya, Giacomo Naldi, selepas pendedahan ujian positif tersebut, Sinner tetap menyifatkan Ferrara sebagai seorang ‘jurulatih yang cemerlang’ ketika ditemui di ATP Finals di Turin pada November 2024.

    “Jannik Sinner telah melantik semula Umberto Ferrara sebagai jurulatih kecergasannya dengan serta-merta,” umum pasukan pengurusan baharunya, Avima, dalam satu kenyataan ringkas.

    “Keputusan ini dibuat seiring dengan pasukan pengurusan Jannik sebagai sebahagian daripada persiapan berterusan menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Terbuka Cincinnati dan Terbuka AS.

    “Umberto telah memainkan peranan penting dalam perkembangan Jannik setakat ini, dan kepulangannya mencerminkan fokus baharu terhadap kesinambungan dan prestasi pada tahap tertinggi.”

    Pihak berkuasa anti-doping menerima hakikat pelanggaran itu tidak disengajakan dan mengenakan penggantungan selama tiga bulan, yang telah dijalani Sinner selepas kemenangannya di Terbuka Australia pada Januari lalu. – AFP

    Jannik Sinner (kanan) bersama Umberto Ferrara, ketika Terbuka Australia 2024 di Melbourne Park. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda