Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sinner bidik final Wimbledon pertama

    LONDON, 11 JULAI – Dalam penampilan separuh akhir Grand Slam ketujuhnya, kemenangan buat juara Terbuka Australia, Jannik Sinner, bakal membawa pemain Itali itu ke final Wimbledon pertamanya.

    Pemain berusia 23 tahun itu, yang telah merangkul tiga kejuaraan utama, berpeluang menjadi lelaki keenam dalam era Terbuka yang berjaya mara ke empat final Grand Slam berturut-turut.

    Final terakhirnya berakhir dengan kekalahan dalam lima set menentang Carlos Alcaraz di Terbuka Perancis pada Jun lalu, selepas Sinner mensia-siakan tiga mata kejuaraan satu memori perit yang kini menjadi pembakar semangat dalam usahanya memburu gelaran Wimbledon.

    “Saya dan Novak saling mengenali dengan lebih baik kerana kami sudah banyak kali bertemu. Jadi kami tahu apa yang berkesan dan apa yang tidak,” kata Sinner.

    Sementara itu, Alcaraz yang kini kembali ke prestasi terbaik selepas permulaan kejohanan yang tidak menentu, perlu mengekang kekuatan pukulan pemain pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Taylor Fritz, untuk mara ke final Wimbledon buat kali ketiga berturut-turut.

    Alcaraz, 22, dipaksa bermain lima set oleh Fabio Fognini yang kini telah bersara dalam pusingan pertama, dan turut kehilangan satu set masing-masing ketika menentang Jan-Lennard Struff serta Andrey Rublev, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pertahanannya sebagai juara.

    Namun, juara Grand Slam lima kali itu menepis segala keraguan selepas membenam harapan tuan rumah, Cameron Norrie, dengan aksi bertenaga di suku akhir.

    Pemain nombor dua dunia itu kini mencatat rekod 23 kemenangan berturut-turut yang terbaik dalam kariernya – sejak tewas kepada Holger Rune di final Barcelona pada April lalu. Di atas gelanggang rumput, Alcaraz telah memenangi 34 daripada 37 perlawanan setakat ini.

    “Taylor bermain dengan sangat baik. Musim rumput ini cukup berjaya buatnya. Saya perlu bersedia untuk perlawanan sengit itu,” kata Alcaraz. – AFP

    Jannik Sinner dalam sesi latihan menjelan separuh akhir Wimbledon menentang Novak Djokovic. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda