BEIJING, 4 OKT – Carlos Alcaraz mengakui bahawa dia ‘hilang fokus’ semasa penurunan prestasi dalam set kedua yang menyebabkan kekalahannya dalam Terbuka China kelmarin dan memberikan peluang kepada Jannik Sinner dari Itali untuk mara ke final menentang Daniil Medvedev di Beijing.
Pemain nombor dua dunia itu memiliki peluang untuk mendahului dalam set pertama yang sengit tetapi ia beralih kepada Sinner apabila dia melakukan pukulan balik yang hebat selepas bola servis kedua Alcaraz untuk mengambil keputusan tie-break penting dalam pusingan penentu.
Alcaraz, juara Wimbledon dan dianggap sebagai pemain pilihan semasa ketiadaan Novak Djokovic, kemudian hilang fokus dan membiarkan Sinner meraih tiga permainan servis dalam set kedua yang penuh kesilapan, memberikan kemenangan dengan keputusan 7-6 (7/4), 6-1 kepada pemain nombor tujuh dunia itu.
Sinner dan Medvedev akan berentap untuk merebut piala hari ini.
“Pada set kedua, saya hilang fokus” kata Alcaraz dalam sidang media selepas perlawanan.

“Saya banyak mengadu, (dan) adalah sangat sukar untuk bermain dengan cemerlang jika awda mengadu atau marah pada diri sendiri,” tambah pemain berusia 20 tahun itu.
“(Saya cuba) mengambil peluang saya. Hari ini, (saya gagal),” katanya.
Sinner menunjukkan satu titik perubahan penting, semasa melakukan servis pada set kedua dengan keputusan 2-1, dia bangkit daripada ketinggalan 0-40 untuk mengukuhkan pendahuluan.
“Ada beberapa mata yang boleh mengubah momentum sepenuhnya,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
“Saya berjaya memenangi detik-detik sebegini hari ini, yang jelas membantu saya dalam perlawanan berikut untuk kekal tenang secara mental dan bermain dengan penuh keyakinan,” katanya.
Sebelum ini, Medvedev yang berada di tangga ketiga memuji saingan servis yang ‘sempurna’ setelah dia berjaya mengalahkan Alexander Zverev. – AFP